" Apabila log a2 dipindahkan ke sebelah sini, ia akan menjadi square root of log a."Cikgu Syahmi guru matematik tambahannya mengajar satu- satu formula bagi tajuk logarithma. Imran memutar- mutarkan pen birunya dengan hujung jari. Entah kenapa hari ini cikgu yang sudah berusia tiga dekad itu tidak dapat menarik perhatiannya hari ini. Fikirannya asyik menerawang. Sesekali Imran menyelak rambut hitam lebatnya dan memandang keluar kelas. Padang sekolah luas menghijau. Sedang seronok Imran melayan lamunannya, tiba- tiba Imran tersentak.
" Imran! Cuba kamu selesaikan equation ini di hadapan," Ahh, cikgu Syah ni.. Dia perasan pula aku tidak menumpukan perhatian tadi. Cikgu Syah cuma tersengih nakal. Imran bangun dan berjalan ke hadapan. Berbekalkan white board marker yang sudah disediakan, Imran menyelesaikan perkiraan logarithma yang biasanya dibenci oleh kebanyakan pelajar tingkatan 5. Siap. Dengan muka selamba Imran berpaah balik ke tempatnya dan duduk. Semua orang tercengang. Tadi, memang semua orang perasan yang Imran tidak berminat dengan kelas hari ini. Tapi, dia dapat menyelesaikan perkiraan tadi dengan cepat dan jawapannya betul!
Imran hanya merenung buku tulis petak- petak dan menyonteng- nyonteng tanpa menghiraukan suasana kelasnya. Aisshh.. kenapa dengan aku ni? Aku paling suka subjek matematik tambahan.Tapi, hari ini betul- betul tiada mood untuk belajar. Jangan campur- adukkan hal peribadi dengan belajar Imran! Jerit Imran di dalam hati.
Maria. Equals to. Mak.
Dihentakkan pen birunya dan terus menyimpan bukunya kembali. Muka nya ditekup dengan buku teks matematik tambahan dan disembamkan di atas meja. Arghhhh!! Rasa nak belasah orang!
___________________________________________________________
" Kenapa kau tak mahu berhenti dari kerja itu? Sampai bila kau nak kerja di sana? Bukannya tiada kerja lain." Imran memulakan bicara sambil menelaah buku " Indahnya Hidup Bersyariat" nukilan Ustaz Ismail Kamus.
Maria diam. Maria terus menjahit bajunya yang koyak dek paku di dinding rumahnya ketika dia bersandar di situ. Tak mahu hiraukan Imran.
" Maria! Aku tanya ni." Imran menekan suaranya dan dialihkan pandangannya kepada Maria. Wajah wanita yang berusia pertengahan 30-an itu ditatapnya tajam. Kulitnya putih, rambutnya ikal lebat, matanya redup tetapi sering dicacatkan dengan make-up yang tebal.
" Suka hati akulah. Apa kau peduli? Kalau tak suka kau boleh keluar dari rumah ini." Maria tetap meneruskan jahitannya.
" Kau juallah kuih ke.. nasi lemak ke.. Ha! Nasi lemak pun okay juga. Aku boleh minta tolong Pak Sham tentang bahan- bahannya. Nasi lemak yang kau masakkan hari itu sedap apa." Imran menatap tepat- tepat wajah wanita yang kian lesu dimamah usia dan kerja.
" Aku tak mahu. Duit tak banyak. Kau tu saja makan banyak belanja."
" Kan aku dah kata, tak payah bagi wang pada aku. Aku kan ada kerja sambilan."
" Aku nak kau berhenti kerja sambilan."
" Tak mahu. Aku tak mahu guna duit kau dari kerja itu. " Imran masuk ke bilik dan mencari- cari sesuatu. Kemudian, dia keluar semula.
" Nah, aku tak guna pun duit kau. Ini cukup kot jadi modal untuk kau berjual- jualan." Imran menyerahkan segumpal wang kepada Maria. Maria merenung wang itu dan bingkas bangun dari duduknya.
" Hey, bodoh! Kenapa kau nak sangat aku berhenti ah? Ni ni.. kenapa kau tak guna duit aku bagi? Jijik? Heyy, selama ini kau makan pakai semua dari duit yang samalah sial!"
" Aku ada jumpa kerja untuk kau di restoran Kak Fatimah. Jadi tukang masak. Esok, kau pergi saja ke sana."
Panggg!!
" Kau siapa nak arah- arahkan aku hah?? Kau tuuuu..budak sial! Siapa mahu dengar cakap kau!?" Maria meledak kemarahan. Ditunjal- tunjalkan kepala Imran.
Imran diam. Dia menutup matanya. Sabar Im.. sabar..
" Hey! Kau duduk sini sementara kau bersekolah saja ok? Lepas ni kau kena pergi tempat lain! Apa kau peduli pasal aku?? Aku benci kau lah!!"
Imran tak dapat mengawal dirinya lagi. Dipegangnya kedua belah bahu Maria dan terus dipeluknya erat- erat.
" Sebab aku anak kau lah!! Kau tu mak aku!! Aku nak kau makan makanan yang halal!! Aku nak kau masuk syurga!!!!!" Jerit Imran di tepi telinga Maria. Maria segera menolak Imran dan memukul serta menendang- nendang Imran.
" Jangan kau berani sentuh aku lagi!! Pergiii!!!!!Pergiiii!!!" Maria mengamuk sakan. Dia membaling segala apa yang mampu dicapainya kepada Imran.
Imran keluar dari rumah itu dengan muka ketat dan air mata.
__________________________________________________________
Itu cerita kelmarin. Semalam pula lain ceritanya. Ahh, Im! Ada saja pertengkaran yang kau mahu mulakan! Ya, memang setiap pertengkaran bermula dengan kata- kata Imran. Tetapi, hati Imran memberontak. Sampai bila dia mahu melayan panggilan " anak sial" dari Maria? Jika benar aku sial, kenapa dia mahu lahirkan aku? Kenapa dia jaga aku? Kenapa dia mahu aku ke sekolah?
Bingung.
_________________________________________________________
" Maria, kenapa kau tak pernah sentuh aku?" Senyap. Ingin benar dia rasa dipeluk manja oleh seorang ibu.
" Maria, aku tahu kau sangat bencikan aku. Kenapa kau tak bunuh saja aku? Tanam saja aku di belakang rumah. Bukan siapa pun tahu di sini." Maria membatukan diri. Maria meneruskan jahitannya lagi.
" Maria..."
" Dapatkan straight A's dulu dalam SPM kau baru aku beritahu."
" Dulu masa UPSR dan PMR pun kau kata begitu. Kau asyik mungkiri janji kau."
" Kau terlalu bodoh masa tu. Sekarang kau dah kurang bodoh. " Imran diam. Dia bangun dan menuju ke biliknya. Sambil itu dia berkata, " Aku akan pastikan kau tepati janji kau!"
Dihempasnya daun pintu biliknya dan terus membuka buku latihan Fizik.
Bismillahirrahmanirrahim... Ya Allah, mudahkan perjalanan hidup matiku, dunia akhiratku. Ampunkan dosaku, dan dosa Maria, ibuku.
_____________________________________________________
Imran merenung ke luar tingkap kelasnya. Malas mahu pergi rehat di kantin. Lagipun, dia berpuasa hari ini. Alah, hampir setiap hari pun Imran berpuasa. Alang- alang tak makan, puasa sajalah. Sama saja.
" Imran?"
Imran menoleh ke kanannya. Ain. Suara lembut itu memang dikenalnya. Gadis genit berlesung pipit ini sungguh manis orangnya.
" Ada apa?"
" Im, ni aku bawakan makanan untuk kau. Kau tak turun kan tadi?" Ain senyum menjelaskan lagi lekuk lesung pipitnya di sebelah kiri.
" Aku puasa." Imran memang begitu, tanyalah sepuluh baris ayat pun dia akan jawab dalam dua tiga patah saja.
" Ohh, tak apa. Kau makan bila masuk waktu berbukalah ya? Makanan ni tak cepat basi."
" Terima kasih. Kau nak apa?" Imran mengambil tupperware yang dibungkus dengan kain itu. Orang kata, rezeki jangan ditolak. Ain melebarkan senyuman.
" Pleasee Im... join band kitorang. " Ain merapatkan kedua belah telapak tangannya sambil membuat muka minta simpati.
" SPM. Kalau tahun lepas boleh lah kot."
" Ala, tahun lepas pun kau kata begitu. Kau kata tahun ini." Arhh..Imran terperangkap dengan kata- katanya sendiri. Imran senyap.
" Nanti ada pertandingan antara daerah. Plus, ada underground battle of the bands. The prize is up to RM 10, 000!!" Ain membeliakkan matanya dan menunjukkan angka 10 dengan jejari kecilnya.
" Nantilah aku fikirkan. Masa rehat dah nak habis. Baliklah ke kelas nanti cikgu marah." Muka Imran flat tiada reaksi itu memang menjengkelkan. Tapi, Ain tak kisah. Dia mahu juga Imran jadi vocalist untuk band mereka. Ain bangun sambil tersenyum.
" I'll wait for you!" Sengihan Ain menampakkan giginya yang berlapis- lapis itu. Tapi, comel.
Imran hanya mengangguk. Dia paling tak suka bercakap dengan perempuan. Lagi- lagi, Ain. Bukannya apa, dia tak selesa dengan Ain. Setiap kali dia ternampak Ain, setiap itulah hatinya berdebar kencang. Peluhnya menitik- nitik. Lidahnya kelu. Adrenaline mengalir laju. Seboleh- bolehnya dia ingin mengelak dari Ain.
" Kau suka dia kan Im?" Azlan menduga Imran. Imran hanya mengangkat kening kirinya.
" Eleh, cakap ajalah.. dia pun single lagi. Ok apa?" Azlan menyiku- nyiku lengan Imran. Sengaja ingin diusiknya. Imran hanya membatukan diri.
" Alah, lepaklah wei. Orang jatuh cinta memang begitu. Takpe, nanti aku beritahu Ain." Azlan bangun berdiri bersedia untuk ke kelas Ain.
" Hoi!" Lekas Imran menarik tangan Azlan yang sasa itu. Azlan hanya mengekek geli hati. Sudah suka itu mengaku sajalah Im!!
Imran menarik hujung bibirnya ke kiri. Azlan hanya tersenyum- senyum melihatkan Imran yang sedang angau.
__________________________________________________________
Maria balik lewat lagi. Imran menggoreng ikan kembung yang Kak Bedah beri semasa dalam perjalanan pulang dari sekolah tadi. Nasi sudah ditanak, ikan goreng adalah dalam 3 ekor.
Imran makan dengan penuh selera. Tambah- tambah lagi, lauk ikan bilis goreng yang Ain beri siang tadi ada. Mewah aku makan hari ini. Ain. Sunyi. Entah kenapa tiba- tiba bayangan Ain muncul. Gadis berkulit kuning langsat itu benar- benar menggoyangkan imannya. Senyumannya manis berlesung pipit. Matanya redup. Bertudung litup. Suaranya lembut sekali. Hidungnya tak mancung, tapi comel. Sopan saja orangnya.
Vocalist. Ain mahu sangat Imran jadi vocalist kumpulan mereka. Tapi, Ain bukannya berada di dalam kumpulan itu. Kumpulan Perspektif itu adalah kumpulan abangnya. Ain hanya membantu abangnya saja. Abang Ain, si Aiman banyak kali memujuk Imran. Tapi, ditolaknya mentah- mentah. Imran pandai bermain gitar dan menyanyi. Suaranya sedap. Suara jantan orang kata. Nantilah.
_____________________________________________________
" Maria! Maria!"
Tergesa- gesa saja Imran pulang ke rumah. Di tangannya digenggam erat slip kertas. Slip keputusan SPM. Dijerit- jeritkan nama Maria.
" Apahal kau? "
" Ni, kau tengok ni! Sekarang, aku mahu tuntut janji kau!" Imran menunjukkan slip SPM nya. Straight A1's.
Maria membatukan diri. Tiada ekspresi.
" Aku nak bersiap pergi kerja. "
"Jangan lari lagi! Jawab!"
Maria menutup matanya dang menggenggam penumbuknya erat. Ditariknya nafas dalam- dalam.
" Kau... aku tak pernah ingin kau. "
Imran diam. Dia sudah bersedia untuk menerima apa saja. Tapi, terbit juga rasa sedih dalam hati lelakinya.
" Bapak kau jantan lahanat! Dia kata cintakan aku sampai aku mati. Tapi..."
Imran diam. Beratnya Imran untuk mengunyah kebenaran ini.
" Dia tak mahu kau dilahirkan. Dia, anak orang kaya. Dia tak mahu malu. Demi menutup mulut aku, dicampakkan aku ke tempat pelacuran. Aku tak tahu mahu pergi mana lagi. Dia bunuh mak dan ayah aku. Semata- mata kerana tak mahu kau dilahirkan." Muka Maria basah. Suara Maria tersekat- sekat.
" Kenapa lahirkan aku?" Imran bingung. Maria senyap. " Kenapa lahirkan aku yang menyusahkan kau ni?"
Maria membuka matanya dan menarik nafas sedalam mungkin. Dilepaskan sekuat hatinya. Hah!
" Kerana aku tak sanggup bunuh kau. Ketika aku mengandungkan kau, rasa bahagia sekali. " Maria mengusap- ngusap perutnya. Senyum kelat.
" Kenapa kau tak sentuh aku?" Imran semakin bingung. Semakin pelik. Pening!
" Semakin kau besar, semakin kau mirip pada bapak kau. Aku benci dia." Imran menunduk. Air mata mula bergenang. Tahan Im! Tahan!
" Mana dia?"
" Sudah mati di tali gantung. Kerana mengedar dadah." Tenang Maria memberitahu. Imran menelan air liur.
Ya Allah, mudahkan aku hadapi semua ini...
" Kau dah habis sekolah. Keputusan pun bagus. Baik kau kemas barang kau dan pergi dari sini. Aku tak mahu tengok muka kau lagi." Maria masih membelakangi Imran. Imran terkedu. Tapi, dia akur. Maria sudah terlalu lama menanggung perit. Imran tak mahu menambah limau di dalam cuka. Selesai berkemas, Imran menatap wajah Maria. Tebal dengan makeup. Diletakkan beg bajunya ke lantai lalu menghampiri Maria.
" Aku tak mungkin faham apa yang sudah kau lalui. Yang pasti, ianya perit. Ni, untuk kau. Aku kumpul dari aku Tingkatan 1. Semua ni halal InsyaAllah. Aku kumpul untuk kau. Jangan risaukan aku. Aku ada duit. Dan kau... kau carilah kerja lain. Kak Bedah masih simpan jawatan tukang masak tu untuk kau. " Imran menyerahkan sepucuk surat yang tebal diisi dengan wang hasil kerja sambilannya semenjak 5 tahun dulu.
" Buatlah kerja halal. Aku nak kau masuk syurga. Itu saja. " Imran menahan sebaknya dan terus keluar rumah.
Maria basah dalam tangisan. Hingusnya mengalir dibiar mencairkan makeupnya.
" Mak!!" Tiba- tiba. Imran berpatah balik dan terus memeluk Maria seerat- eratnya dari belakang. Maria tersentak.
" Aku memang bodoh, sial, bangang dan segala nya yang menyusahkan kau. Maafkan aku. Aku akan pergi. Tapi, percayalah. Satu hari nanti, aku akan kembali. Ketika itu, kau mesti tunggu aku! Kau mesti!"
" Aku takkan tunggu kau. Pergi matilah!" Kata Maria separuh menjerit. Imran meleraikan pelukannya dan mengangkat semula beg bajunya.
" Kau mesti tunggu aku!" Imran keluar dari rumah itu dan langsung tidak berpaling. Matanya merah kebasahan. Bibirnya diketap rapat. Aku akan kembali Maria. Aku akan kembali mak. Kau mesti tunggu aku. Kau mesti!
______________________________________________________
bersambung...
No comments:
Post a Comment